Rabu, 20 Oktober 2010

Usah Pandang Enteng:Tanggungjawab Sebagai Ibu Bapa








ADAKAH kita ibu bapa yang baik? Adakah kita telah berusaha menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa yang cemerlang?  Atau adakah kita tidak pernah pun menyoal diri kita dengan soalan-soalan seumpama itu?
Saya yakin ramai kalangan kita barangkali yang tidak pernah bermuhasabah sejauhmanakah kita telah cuba menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik.  Anak ialah amanah daripada Allah atau Pencipta.  Oleh sebab itu, tugas mendidik anak bukanlah tugas yang mudah atau perlu dilakukan secara sambalewa.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Apabila telah meninggal manusia putuslah amalnya, kecuali dari tiga perkara:sedekah jariah (umpamanya membuat masjid) atau ilmu yang memberi manfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya." 
(Hadis riwayat Muslim)
Sabda Junjungan Nabi Muhammad SAW tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan kepada anak-anak di peringkat bayi hingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Didiklah anak-anakmu atas tiga perkara:
  1. Mencintai Nabinya
  2. Mencintai ahli rumahnya
  3. Membaca al-Quran, kerana si penghafal al-Quran,  dalam naungan Allah pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya berserta Nabi-nabinya dan orang-orang suci-Nya."
(Hadis riwayat Dailami)
Hadis ini menegaskan bahawasanya ibu bapa wajib mendidik anaknya supaya pandai membaca dan memahami al-Quran. Dengan erti kata lain ibu bapa Muslim wajib memainkan peranan untuk membesarkan anak-anak mereka agar menjadi insan Islam yang sebenarnya yang mematuhi ajaran al-Quran dan sunnah Nabi-Nya.
Anak-anak perempuan mesti dididik untuk mencerminkan Islam lebih-lebih lagi dalam hal pakaian, supaya menutup aurat agar apabila besar nanti tidak akan memakai pakaian yang bertentangan dengan kehendak Islam.
Anak-anak lelaki perlu dikawal supaya apabila besar nanti mereka tidak berpakaian tidak sempurna serta terlibat dengan najis dadah. Ibu bapa perlu menekankan kepada disiplin dan menggunakan psikologi yang bijak.
Penekanan amat penting diberikan kepada:
  • Ilmu-ilmu yang diberikan
  • Asas pelajaran yang diberikan
  • Pendidikan jasmani yang diberikan
  • memberi makanan dan minuman yang halal
  • Mencari jodoh untuk anak-anak apabila tiba waktunya
Diharap dengan terbinanya institusi keluarga yang cemerlang akan dapat memberikan sumber kekuatan untuk memantapkan ketamadunan sesuatu bangsa.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak secara positif, khususnya dalam pembentukan peribadi dengan sifat-sifat berikut:

  • Keyakinan penuh pada diri sendiri
  • Memuliakan diri sendiri sebagai hamba Allah
  • Menjaga nilai harga diri
  • Bersifat benar dalam segala hal
  • Berani menghadapi dugaan dan cabaran
  • Selalu bersifat tenang
Ayuh, belum terlambat lagi untuk kita menjadi ibu bapa yang cemerlang. Kita orakkan langkah dan cuba menjadi ibu bapa yang berkualiti.  Ingatlah, menjadi ibu bapa tidak semudah yang kita fikirkan.  Jika anak-anak berjaya, kejayaan itu bermula daripada ibu bapa. Sebaliknya, anak-anak yang gagal ialah daripada ibu bapa yang gagal.  Anak amanah daripada-Nya. Jangan nanti apabila "Nasi sudah menjadi bubur," kegagalan dituding kepada anak-anak sahaja.  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan