Rabu, 20 Oktober 2010

Tidak Kita Siapakah Lagi?




KISAH pendek persahabatan Suparjo dan Raju hanyalah sekadar iklan tetapi di sebalik apa yang dipaparkan tersirat pelbagai mesej berguna kepada masyarakat.
Memang pada asasnya iklan sempena musim perayaan diterbitkan TV3 itu berkisar kepada persahabatan dua kanak-kanak berlainan keturunan di sebuah desa.
Mereka berpisah tetapi akhirnya secara kebetulan bertemu kembali setelah jauh meniti alam dewasa.
Uniknya, pertemuan kembali dua insan ini dijana melalui sebuah lagi Melayu klasik yang selalu dilagukan ketika kecil dulu.
Setelah berpuluh tahun kita disogokkan dengan cogan kata keramat seperti ?Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita?,  Bahasa Jiwa Bangsa? dan 1001 istilah bagi untuk mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan aplikasi rasmi negara ini; sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada asas pembinaan negara.
Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, suku dan etnik peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah sebagai bahasa penyatu bangsa.  Jika pada awal kemerdekaan bahasa kebangsaan amat besar peranannya sebagai bahasa perpaduan atau pemersatu.  Dalam sistem pendidikan kebangsaan misalnya, bahasa kebangsaan (BM) terus berperanan sebagai bahasa yang menyampaikan ilmu dan menjadi bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran.  Berbeza pada zaman kolonial, masyarakat di Malaysia dipisah-pisahkan melalui sistem kolonial apabila Sekolah India didirikan di estet-estet untuk bangsa India, Sekolah Cina untuk masyarakat berbangsa Cina, dan sekolah kerajaan untuk masyarakat Melayu.
Peristiwa 13 Mei 1969 amat besar kesannya kepada sejarah pembentukan masyarakat yang bersatu padu di negara ini.  Oleh sebab itu, kerajaan melalui gagasan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia kini yakni 1Malaysia, boleh direalisasikan dengan pelbagai cara.  Salah satunya ialah melalui bahasa kebangsaan.  Dengan menggunakan bahasa kebangsaan, kita mampu merealisasikan gagasan 1Malaysia. Sesuailah dengan tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini "1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara."
Bahasa kebangsaan bukan sahaja berperanan menyatukan pelbagai kaum di negara ini tetapi juga berfungsi sebagai bahasa yang membina jati diri bangsa.  Jati diri bangsa akan dibentuk melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Di mana-mana pun kita berada kita akan dikenali melalui bahasa yang kita tuturkan. "Bahasa Citra Bangsa," sebagaimana kita menjadikan lagu kebangsaan, baju kebangsaan, jalur gemilang sebagai jati diri bangsa di Malaysia.
Pernahkah kita terfikir adakah kita telah benar-benar meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita pada kedudukannya yang wajar? Di mana-mana, di tepi jalan raya, papan-papan iklan, nama-nama kedai, nama bangunan, nama taman perumahan masih dapat kita lihat nama yang bercirikan bangsa atau bahasa asing. Contohnya, Austral Park, Boulevard, dan Rainbow Advertising.  Pelancong yang datang ke Malaysia pernah memberikan komen tentang rasa kecewanya apabila dia cuba berbahasa Melayu dengan petugas di hotel tetapi sebaliknya, dia dilayan dengan bahasa Inggeris.  Jika bangsa asing cuba menghormati bahasa kebangsaan kita, kenapa tidak kita sendiri yang dilahirkan di Malaysia, dan mengaku sebagai rakyat di Malaysia? Usah mengharapkan bangsa lain, jika kita sendiri masih tidak yakin dan bangga dengan bahasa kebangsaan kita.  Tidak kita siapakah lagi?  Fikir-fikirkan, renung-renungkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan